Selasa, 2008 Julai 01

JOHAN!!!!!


Yeah..... Seronot... Sabtu dan Ahad lepas, lebai tak balik Shah Alam.. Kesian anak-anak lebai.

Lebai join Kejohanan Dart MAKSAK, Negeri Sembilan, and guest what.. team lebai menang... Johan Negeri Sembilan...

Memang lotih... dari pagi hari Sabtu tu (28/6), pukul 7 pagi lagi dah bertolak ke Seremban, pukul 9.00 dah start, abih pukul 9 malam. Hari pertama, pertandingan individu, 84 orang ke lebih, bertanding secara liga dalam 8 kumpulan. 4 orang dari setiap kumpulan mara ke pusingan kalah mati. Lebai cuma sampai ke peringkat pusingan ketiga sahaja. Selangkah lagi nak masuk suku akhir.

Tapi takpa... hari kedua.. Ahad (29/6), acara berpasukan, team lebai berjaya menjadi JUARA!!!!.. huhuhu... siap telefon SINAR... esok masuk le tu.. masuk paper...... Alhamdulillah...

Jumaat, 2008 Jun 27

PTK lagi?

Ya.. PTK datang lagi... Apa le lembab sangat. Dah berapa kali amik tak lulus lagi.. Kali ni lebai study abis.. (sehari je) tu esok nak PTK, hari ni baru nak review nota.. 24 malam tu, lebai balik Shah Alam, 25 (esok) exam kat KL. Amik subjek umum je dulu.. Khusus dah lulus tahap 3, kira okey le tu.. Janji lulus. Sampai rumah.. anak2 terkejut.. cepat Abah balik.. baru selasa.. Aik takkan tak boleh balik.. Kot mana pun Bilal yang paling best.. mesti ada benda nak cerita tiap kali abah balik..

"Qamar jatuh Abah.., berdarah mulut dia..." . "Ye ke.. macamana jatuh?.." " Dia panjat... lepas tu jatuh... " "Haa.. power ranger..."(sampuk along...) Istighfar panjang lebai bila tengok mulut anak perempuan sorang ni.. "Kamu tu pompuan, sayang oi.. jangan le ikut macam abang-abang kamu..."
Mujur tak terbelah bibir tu.. pecah-pecah le sikit...

Lepas solat.. amik nota.. study... kunci pintu bilik solat... anak-anak pulak sibuk kacau. Qamar datang siap bawak tudung umi dia, nak solat.. Dia yang paling rajin nak ikut abah, umi solat...

Kumat-kamit mulut.. berbunyi sus, sis, sush..

PTK 25hb. 26 tu, pagi-pagi lagi lebai bertolak semula ke Jelebu.. ada meeting hari ni.. Sabtu dan Ahad ni tak dapat balik pulak.. ada game MAKSAK kat Seremban.. "Abah pegi dulu ye anak-anak. Jumpa minggu depan ye..." Lebai kucup dahi anak-anak satu persatu.. Semuanya masih lena.. Kesian.. bangun nanti tengok abah dah pegi.. Umi jaga diri ye.. jaga anak-anak kita baik-baik.. Abah harap pada Umi aje la.. Abah jauh.. pegi dulu.. Assalamualaikum...

Isnin, 2008 Jun 23

Bersukan Sihatkan Badan

20 dan 21 Jun lepas, lebai join sukan PBT di Negeri Sembilan. Ada le acara bowling, badminton, karom, bola jaring, congkak, dart dan futsal. Lebai join acara favourite le, Dart. Dan ditambah sebagai keeper bidan terjun untuk futsal. Penat nak mampuih.. Kejang-kejang kaki ha..

Malam 20hb tu ada game bowling. Lebai tak masuk.. Saje pegi tengok, bagi sokongan le konon. Mak aih.. naik van dari Jelebu ke Seremban.. pening kepala.. seb baik tak muntah.. Sampai kat sana, kawan lebai mintak tolong gantikan pulak, dia lapor.. tak makan lagi katanye.. Ada dua game lagi.. Aisey.. esok nak lawan dart.. mana boleh.. nanti lari le tune tangan.. Mau tak mau, dek kesian.. melontar aje le.. ala-ala macam lontar peluru masa kek sekolah dulu.. Abregeheng tul...

Point orang lain suma 200 lebih.. seb baik lebai lepas 100 point...

Gigil tangan lawan 'see that'...

Tempat pertandingan dart kecik sangat.. crowded abih... Terpaksa halau penonton keluar.. Biar team yang bertanding aje dok kat dalam.. Walaupun cuma dapat nombor tige.. tapi team lebai memang 'kungfu fighting' punya team..

Tu dia.. lebai jadi keeper selaku kapten pasukan.. huhuhu..

Huih.. pancit.. balik rumah memang flat habih...

Selasa, 2008 Jun 10

Minyak: Pak Lah Gali Lubang Kubur Pakatan Rakyat

Harga petrol di pam naik 41%. Itu yang diumumkan secara "Surprise" oleh Pak Lah 4 Jun lepas. Berbagai reaksi yang timbul ekoran pengumuman itu. Kalau tayang di tv, semuanya suruh rakyat berjimat cermat. Kalau dah makan nasi sehari sekali tu, cuba la makan 2 atau 3 hari sekali. Kalau balik kampung setahun sekali, cuba la pulak 2 tahun sekali. Ada yang suruh naik basikal, tapi lebai kerja jauh dari rumah. Kat highway (PLUS) tak boleh naik basikal. Nak mampos? Sekali libas dek lori, terbarai perut lebai.

Ada blog dan akhbar online yang menyatakan Pak Lah Gali Lubang Kubur Sendiri, bila bertindak menarik subsidi minyak. Namun apa yang lebai jangkakan sejak minggu lepas, ternyata mula menampakkan realiti. Bila ditanya rakan-rakan, Lebai katakan bahawa kenaikan harga minyak ini akan memberi kesan yang tak terduga oleh negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat. Pak Lah sedang menggali lubang kubur / jerat yang sangat luas untuk Pakatan Rakyat.

Kenaikan harga minyak akan meningkatkan kos operasi kerajaan terutamanya kerajaan negeri. Memang rakyat biasa yang paling terkesan. Dan sudah semestinya mereka akan mengharapkan kepada ehsan daripada kerajaan. Sementelah keadaan sekarang, rakyat diapi-apikan oleh BN dan media pro BN agar menuntut Pakatan Rakyat segera menunaikan janji pilihanraya dan berbagai lagi bantuan yang dituntut atas nama meningkatkan kesejahteraan rakyat. Kegagalan, malahan kelewatan yang sedikit sekalipun untuk berbuat demikian akan menjatuhkan kredibiliti Pakatan Rakyat.

Bagi negeri-negeri di bawah BN, berbagai bantuan pasti akan dihulurkan oleh Kerajaan Pusat, namun bagi negeri-negeri di bawah Paktan Rakyat, sudah pasti peruntukan-peruntukan yang sepatutnya disalurkan kepada Kerajaan Negeri akan atau sedang ditarik balik dan disalurkan ke negeri lain oleh Pusat.

Yang nyata, Kerajaan-kerajaan Negeri Pakatan Rakyat kini menanggung beban operasi dan agenda yang disusun untuk membantu rakyat, sedikit sebanyak turut terjejas.

Perlu diingat, bahawa kemenangan Pakatan Rakyat di empat buah negeri di Pantai Barat adalah berdasarkan perubahan pengundi di kawasan bandar dan kebanyakan pengundi di kawasan luar bandar dan majoriti Melayu, masih mengundi UMNO dan BN. Bagi kawasan-kawasan ini, UMNO dan BN tidak ambil pusing sangat mengenai mood pengundinya. Namun sasaran kempen secara halus BN sekarang adalah terhadap pengundi di kawasan bandar. Kalau di kampung, kita berhujah mengenai kenaikan harga barang dan makanan, masih ada golongan tua yang menempelak kita kembali dengan cerita betapa susahnya mendapat makanan ketika zaman Jepun berbanding sekarang. Payah dah nak diubah.

Namun di bandar, rakyat memang memikirkan berbagai beban harian yang terpaksa ditanggung ekoran kenaikan harga minyak dan barangan keperluan lain. Sehubungan itu, berbagai strategi telah diatur oleh Kerajaan Pusat bagi meringankan kerunsingan rakyat terutama di kawasan bandar. Strategi ini memang takkan terlaksana oleh Kerajaan Negeri kerana ia sememangnya di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat.

Pak Lah telah umumkan pemberian rebet kepada pemilik kenderaan, dan hari ini, terpampang di dada akhbar berkenaan pemotongan 10% elaun keraian menteri-menteri dan langkah penjimatan Kerajaan Pusat. Ini amat menarik minat rakyat yang akan berfikir bahawa menteri-menteri juga sanggup berjimat dan berkorban demi menyelamatkan ekonomi negara. Wal hal banyak manalah sangat 10% itu jika dibandingkan dengan 50% potongan gaji Menteri Besar untuk tabungan kesejahteraan rakyat sebagaimana yang dibuat oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz sejak PAS memerintah Kelantan tahun 1990 dulu. Namun perkara itu tak terdengar oleh rakyat kerana ia tidak disensasikan sebagaimana potongan 10% sekarang ini.

Kadar tol khususnya di Lembah Klang akan dikaji semula dan mungkin diturunkan atau dimansuhkan kerana kini Kerajaan Pusat berupaya mengambil alih konsesi lebuhraya berdasarkan penjimatan hampir 12 bilion Ringgit setelah harga minyak dinaikkan.

Keputusan ini juga akan menarik sokongan rakyat kembali kepada BN. Dan ada beberapa perkara lagi yang mungkin akan dilaksanakan dalam masa terdekat yang akan menggambarkan keprihatinan Kerajaan kepada rakyat seperti subsidi pemasangan sistem NGV atau gas mampat kepada kenderaan persendirian, penghapusan cukai jalan, mewajibkan kenderaan baru siap dipasang sistem NGV, menurunkan cukai ke atas pengusaha bas dan vessel dan berbagai lagi program yang Lebai tak nak nyatakan di sini, takut-takut nanti ditiru Pak Lah pula nanti.

Apa yang boleh, Lebai menyeru kepada semua piminan Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat agar segera melaksanakan agenda kesejahteraan rakyat tanpa rasa takut atau risau berkenaan hal peruntukan. Kita perlu yakin dengan pertolongan dan dorongan dari Allah s.w.t. sebagaimana yakinnya Tok Guru Nik Abdul Aziz ketika memotong gajinya untuk rakyat, sebagaimana yakinnya Tuan Guru Hj. Abdul Hadi menghapuskan cukai pintu rumah kediaman ketika menerajui Terengganu, dan sebagaimana yakinnya Ustaz Azizan menurunkan cukai tanah di negeri Kedah sebaik mengambil alih teraju Kerajaan Negeri.

Usah berkira-kira lagi, kalau perlu potong gaji, potonglah, potong keistimewaan MB dan EXCO, potonglah, buatlah sehabis mungkin. Susun semula syarikat-syarikat di bawah kerajaan negeri. GLC yang paling banyak menghabiskan kewangan kerajaan negeri selama ini. Kalau perlu ambil alih SYABAS, buat segera, usah bertangguh. Mengurus ekonomi, bukan setakat mendengar kata pakar, kerana mereka hanya belajar mengurus untuk keuntungan, tapi kadangkala tu, dengar-dengarlah pendapat orang kampung, walaupun cuma sembang kedai kopi, kerana pendapat mereka bukan tentang untung rugi perniagaan tetapi lebih kepada perkara praktikal yang dibuat sehari-hari. Nak tahu lanjut.. tanya kat Lebai pun boleh.. Lebai boleh buat kertas kerja percuma untuk Pakatan Rakyat... wassalam.

Rabu, 2008 Jun 04

TAHNIAH !!!!

Tahniah kepada rakyat Malaysia...!!!

Harga minyak dinaikkan 40% ke RM 2.70 mulai 5 Jun 2008..


TAHNIAH !!!!

UNDILAH !!!!

BARANG NAIK !!!!

Rabu, 2008 Mei 28

Tabungan Pelajar Tahfiz Ke Mesir

Assalamualaikum..

Kepada mana-mana pihak yang berhajat untuk membuat amal jariah.

Sukacita dimaklumkan bahawa pelajar-pelajar al-Hafiz lepasan Diploma Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Pulau Pinang, seramai 14 orang akan melanjutkan pengajian mereka di Maahad Qiraat Shoubra, Universiti Al-Azhar, Mesir bagi tahun 2008 hingga 2011.

14 orang pelajar ini merupakan generasi ke sepuluh dan terakhir (sesi 2005/2008) Maahad ini. Maahad ini mula beroperasi pada tahun 1996 dan kini ia akan digabungkan dengan Kolej Islam
Teknologi Antarabangsa (KITAB).

Pelajar-pelajar Maahad ini telah menubuhkan Sekretariat Alumni di bawah naungan Sahibus Samahah Dato' Mufti Pulau Pinang dan guru penasihatnya adalah pengetua Maahad ini sendiri. Walaupun Maahad ini akan digantikan dengan diserap ke dalam KITAB, alumni ini akan terus berfungsi melaksanakan tanggungjawab dan peranan mereka terhadap masyarakat. Antara perkhidmatan yang ditawarkan oleh alumni ini ialah:

1. Mengajar Al-Quran termasuk di rumah-rumah,
2. Menerima jemputan Majlis Tahlil dan Khatam al-Quran,
3. Menjadi tenaga penggerak Program Qiamulail,
4. Menjadi Imam dan Khatib Jumaat, dan
5. Menjadi Fasilitator bagi program-program motivasi dan kem-kem ibadah.

InsyaALLAH, seramai 12 orang pelajar akan berangkat ke Mesir pada bulan September 2008 dan 2 lagi akan menyusul kemudian. Pelajar-pelajar ini memerlukan bantuan dana bagi menampung kos persediaan dan pengajian yang dijangka memakan masa 3 tahun. Bantuan yang diperlukan adalah bagi menampung kos pengajian untuk tahun perama dan tahun selebihnya akan dibantu oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

Kos Kewangan Bagi Tahun Pertama

Kos Awal
- Tiket Penerbangan - RM 2,100.00
- Passport / Visa - RM 300.00
- Barangan Keperluan - RM 600.00

Kos Tahunan
- Kitab - RM 550.00
- Sara Diri - RM 4,000.00
- Tambang - RM 120.00
- Sewa Rumah - RM 2,000.00

Jumlah Individu = RM 9,670.00
Jumlah kumpulan 14 pelajar (setahun) = RM 135,380.00

Besarlah harapan lebai, agar pihak-pihak yang berkemampuan untuk menyalurkan sumbangan. Sumbangan anda juga merupakan satu jihad dalam memastikan ilmu Al-Quran terus subur di sanubari anak-anak muda generasi akan datang. Ianya juga boleh diniatkan sebagai zakat kepada golongan 'Ibnu Sabil'.

Segala sumbangan saudara budiman, samada secara tunai/cek, bolehlah disalurkan ke:

SEKRETARIAT ALUMNI MTQPP
D/A Abdul Aziz b. Mohd Salleh
No. 13 Lintang Nibong,
Bayan Baru 11950
PULAU PINANG

Atau boleh disalurkan terus ke akaun Sekretariat di Bank Islam Malaysia Berhad bernombor:

07-025-01-001669-3

Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi:

Sdr. Muhammad Rafaie bin Abu Bakar - 019-5121500

Sdr. Khairul Ridhwan bin Othman - 012-4203961

Sdr. Nurul Amin bin Ismail - 019-4140228

Atau boleh hubungi lebai sendiri samada dalam website ini atau emel ke bakrialias@yahoo.com

Terima kasih....

Rabu, 2008 April 23

Al-Fatihah: Rustam A. Sani meninggal dunia

klpos.com 22 April 2008

PENULIS
politik terkenal Rustam A. Sani 63 tahun meninggal dunia di rumahnya sekitar jam 3.00 pagi tadi kerana diserang penyakit jantung.

Orang ramai yang ingin menziarahi Allahyarham boleh hadir ke alamat:

7519 Batu 6 3/4, Bukit Lela, Gombak Selangor Darul Ehsan (Tel: 03-61897588)

Jenazah Allahyarham Rustam dijangka akan dikebumikan lepas Zohor.

Allahyarham merupakan pensyarah bersara, pengarang dan penulis bebas. KLpos.com baru sahaja menyiapkan satu kolum khas untuk tulisan-tulisan beliau di laman ini semalam yang bertajuk 'Karya Merdeka'.

Tulisan terakhir Allahyarham eksklusif untuk pembaca KLpos.com ialah Parti-parti lawan diperalatkan lagi 'demi kepentingan Melayu'?

FotoFotoDua buah buku terbaru hasil penulisan Allahyarham yang bertajuk "Special Roots of the Malay Left" dan "Fail Nation" sepatutnya dirasmikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 April ini di Seminar Hall, Perpustakaan Raja Tun Uda (The Selangor Public Library), Persiaran Bandaraya, Shah Alam.

Rustam A. Sani dianggap antara ‘cendekiawan awam’ yang penting di Malaysia. Beliau merupakan seorang ahli akademik, penulis kolum dan penyair – selain terlibat dalam pelbagai kegiatan politik, sosial dan sastera. Sebagai ahli akademik dan penganalisis, beliau pernah bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan ISIS Malaysia.

Antologi puisinya – Riak-riak Kecil (1977) – diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada tahun 1988/89 beliau telah dianugerahkan ‘Hadiah Sastera Negara’ dalam kategori esei dan kritik sastera. Dalam bidang politik, beliau pernah memegang jawatan Timbalan Presiden, Parti Rakyat Malaysia.

Rustam memperoleh ijazah pertamanya dari Universiti Malaya, dan kemudiannya melanjutkan pelajaran di University of Reading, University of Kent at Canterbury (UK) dan Yale University (AS). Beliau merupakan seorang penulis yang prolifik, baik dalam bahasa Malaysia maupun Inggeris – dan tulisannya meliputi pelbagai bidang seperti politik, isu-isu sosial, sejarah, budaya, statistik dan sastera. Selain itu, beliau juga telah menghasilkan terjemahan karya-karya sastera dan bukan sastera (dari Inggeris ke bahasa Malaysia dan sebaliknya).

Antara buku-buku karya beliau adalah: Melayu Baru: Beberapa Persoalan Sosio-Budaya (1992); Politik dan Polemik Bahasa Melayu (1993); Melayu Baru dan Bangsa Malaysia: Tradisi Cendekia dan Krisis Budaya (1993); Menjelang Reformasi (2004); Ke Mana Nasionalisme Melayu? (2004); dan Bercanda dengan Mahathir (2006) dan banyak lagi...

Dipetik dari klpos.com

Innalillah.. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Pak Rustam dan semoga semangatnya serta perjuangannya diteruskan oleh generasi kini. Takziah lebai ucapkan kepada keluarga Pak Rustam. Banyak benar penulisan Pak Rustam, tak terbaca oleh lebai.. Harapnya dapatlah wujud pengganti arwah yang berkaliber dalam bidang penulisan. Wassalam..