Selasa, 10 Jun 2008

Minyak: Pak Lah Gali Lubang Kubur Pakatan Rakyat

Harga petrol di pam naik 41%. Itu yang diumumkan secara "Surprise" oleh Pak Lah 4 Jun lepas. Berbagai reaksi yang timbul ekoran pengumuman itu. Kalau tayang di tv, semuanya suruh rakyat berjimat cermat. Kalau dah makan nasi sehari sekali tu, cuba la makan 2 atau 3 hari sekali. Kalau balik kampung setahun sekali, cuba la pulak 2 tahun sekali. Ada yang suruh naik basikal, tapi lebai kerja jauh dari rumah. Kat highway (PLUS) tak boleh naik basikal. Nak mampos? Sekali libas dek lori, terbarai perut lebai.

Ada blog dan akhbar online yang menyatakan Pak Lah Gali Lubang Kubur Sendiri, bila bertindak menarik subsidi minyak. Namun apa yang lebai jangkakan sejak minggu lepas, ternyata mula menampakkan realiti. Bila ditanya rakan-rakan, Lebai katakan bahawa kenaikan harga minyak ini akan memberi kesan yang tak terduga oleh negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat. Pak Lah sedang menggali lubang kubur / jerat yang sangat luas untuk Pakatan Rakyat.

Kenaikan harga minyak akan meningkatkan kos operasi kerajaan terutamanya kerajaan negeri. Memang rakyat biasa yang paling terkesan. Dan sudah semestinya mereka akan mengharapkan kepada ehsan daripada kerajaan. Sementelah keadaan sekarang, rakyat diapi-apikan oleh BN dan media pro BN agar menuntut Pakatan Rakyat segera menunaikan janji pilihanraya dan berbagai lagi bantuan yang dituntut atas nama meningkatkan kesejahteraan rakyat. Kegagalan, malahan kelewatan yang sedikit sekalipun untuk berbuat demikian akan menjatuhkan kredibiliti Pakatan Rakyat.

Bagi negeri-negeri di bawah BN, berbagai bantuan pasti akan dihulurkan oleh Kerajaan Pusat, namun bagi negeri-negeri di bawah Paktan Rakyat, sudah pasti peruntukan-peruntukan yang sepatutnya disalurkan kepada Kerajaan Negeri akan atau sedang ditarik balik dan disalurkan ke negeri lain oleh Pusat.

Yang nyata, Kerajaan-kerajaan Negeri Pakatan Rakyat kini menanggung beban operasi dan agenda yang disusun untuk membantu rakyat, sedikit sebanyak turut terjejas.

Perlu diingat, bahawa kemenangan Pakatan Rakyat di empat buah negeri di Pantai Barat adalah berdasarkan perubahan pengundi di kawasan bandar dan kebanyakan pengundi di kawasan luar bandar dan majoriti Melayu, masih mengundi UMNO dan BN. Bagi kawasan-kawasan ini, UMNO dan BN tidak ambil pusing sangat mengenai mood pengundinya. Namun sasaran kempen secara halus BN sekarang adalah terhadap pengundi di kawasan bandar. Kalau di kampung, kita berhujah mengenai kenaikan harga barang dan makanan, masih ada golongan tua yang menempelak kita kembali dengan cerita betapa susahnya mendapat makanan ketika zaman Jepun berbanding sekarang. Payah dah nak diubah.

Namun di bandar, rakyat memang memikirkan berbagai beban harian yang terpaksa ditanggung ekoran kenaikan harga minyak dan barangan keperluan lain. Sehubungan itu, berbagai strategi telah diatur oleh Kerajaan Pusat bagi meringankan kerunsingan rakyat terutama di kawasan bandar. Strategi ini memang takkan terlaksana oleh Kerajaan Negeri kerana ia sememangnya di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat.

Pak Lah telah umumkan pemberian rebet kepada pemilik kenderaan, dan hari ini, terpampang di dada akhbar berkenaan pemotongan 10% elaun keraian menteri-menteri dan langkah penjimatan Kerajaan Pusat. Ini amat menarik minat rakyat yang akan berfikir bahawa menteri-menteri juga sanggup berjimat dan berkorban demi menyelamatkan ekonomi negara. Wal hal banyak manalah sangat 10% itu jika dibandingkan dengan 50% potongan gaji Menteri Besar untuk tabungan kesejahteraan rakyat sebagaimana yang dibuat oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz sejak PAS memerintah Kelantan tahun 1990 dulu. Namun perkara itu tak terdengar oleh rakyat kerana ia tidak disensasikan sebagaimana potongan 10% sekarang ini.

Kadar tol khususnya di Lembah Klang akan dikaji semula dan mungkin diturunkan atau dimansuhkan kerana kini Kerajaan Pusat berupaya mengambil alih konsesi lebuhraya berdasarkan penjimatan hampir 12 bilion Ringgit setelah harga minyak dinaikkan.

Keputusan ini juga akan menarik sokongan rakyat kembali kepada BN. Dan ada beberapa perkara lagi yang mungkin akan dilaksanakan dalam masa terdekat yang akan menggambarkan keprihatinan Kerajaan kepada rakyat seperti subsidi pemasangan sistem NGV atau gas mampat kepada kenderaan persendirian, penghapusan cukai jalan, mewajibkan kenderaan baru siap dipasang sistem NGV, menurunkan cukai ke atas pengusaha bas dan vessel dan berbagai lagi program yang Lebai tak nak nyatakan di sini, takut-takut nanti ditiru Pak Lah pula nanti.

Apa yang boleh, Lebai menyeru kepada semua piminan Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat agar segera melaksanakan agenda kesejahteraan rakyat tanpa rasa takut atau risau berkenaan hal peruntukan. Kita perlu yakin dengan pertolongan dan dorongan dari Allah s.w.t. sebagaimana yakinnya Tok Guru Nik Abdul Aziz ketika memotong gajinya untuk rakyat, sebagaimana yakinnya Tuan Guru Hj. Abdul Hadi menghapuskan cukai pintu rumah kediaman ketika menerajui Terengganu, dan sebagaimana yakinnya Ustaz Azizan menurunkan cukai tanah di negeri Kedah sebaik mengambil alih teraju Kerajaan Negeri.

Usah berkira-kira lagi, kalau perlu potong gaji, potonglah, potong keistimewaan MB dan EXCO, potonglah, buatlah sehabis mungkin. Susun semula syarikat-syarikat di bawah kerajaan negeri. GLC yang paling banyak menghabiskan kewangan kerajaan negeri selama ini. Kalau perlu ambil alih SYABAS, buat segera, usah bertangguh. Mengurus ekonomi, bukan setakat mendengar kata pakar, kerana mereka hanya belajar mengurus untuk keuntungan, tapi kadangkala tu, dengar-dengarlah pendapat orang kampung, walaupun cuma sembang kedai kopi, kerana pendapat mereka bukan tentang untung rugi perniagaan tetapi lebih kepada perkara praktikal yang dibuat sehari-hari. Nak tahu lanjut.. tanya kat Lebai pun boleh.. Lebai boleh buat kertas kerja percuma untuk Pakatan Rakyat... wassalam.

1 ulasan:

husz_nie berkata...

apa kata lebai majukan entry lebai ni ke pakatan rakyat