Khamis, 14 Februari 2008

Antara Projek Kroni dan Poket Sendiri

Saya orang kerdil. Gaji cukup makan, cukup-cukup untuk bayar sewa rumah, bayar ansuran duit kereta Proton Wira (tu pun 9 tahun), nak beli rumah tak cukup. Rumah kos rendah tak layak, rumah kos sederhana pun dah melambung 180k hingga 300k. Tapi terpaksa juga, kalau tidak tak berharta nanti, kalau pejam mata esok lusa, at least ada tinggalkan tempat berteduh buat anak dan isteri.

Loan boleh dapat 100%, tapi jangan lupa, bayar yuran guaman perjanjian sewa beli, 2 - 3k, guaman untuk loan bank, 3 - 4k lagi, guaman untuk tukar hak milik tanah dan rumah juga 4 - 5k lagi. Hitung kira, lebih kurang 7 ke 10k perlu disediakan sendiri untuk tujuan guaman sahaja. Sampai bila boleh nak simpan RM 10 ribu??

Dengan harga barang naik, belanja cukup-cukup makan sahaja.

Diwar-warkan negara maju, kaya, aman, stabil, projek melimpah ruah. Tapi siapa yang rasa? Tuan-tuan cuma dapat apa yang tuan-tuan ada sahaja. Itu pun makin berkurang sebab harga barang dah makin naik.

Jangan hanya gah tengok pembangunan mega dengan koridor itu, koridor ini. Persoalannya adakah taraf hidup kita meningkat? Memang yang tuan-tuan dapat lihat seperti ditayang di RTM dan media lain, jalan makin besar, banyak dan lurus, tapi tuan-tuan kena bayar tol yang naik saban tahun. Elektrik disalurkan terus ke kawasan-kawasan anda, juga bilnya naik saban tahun. Bekalan Air sudah sampai ke kawasan pedalaman, dan nyata bilnya juga naik saban tahun. Hospital dan klinik kerajaan juga bertambah, tapi hanya boleh dapat ubat pening dan demam, rawatan pesakit uar. Tapi kalau memerlukan rawatan lanjut, pembedahan dan sebagainya, kosnya pasti tinggi. Dan sesetengahnya terpaksa mendapatkan rawatan di hospital swasta yang sekarang ini ada kepentingan syarikat dari luar negara. Kosnya lebih melambung tinggi. Sebab itu kita dapat lihat banyak rayuan bantuan sumbangan derma di dada-dada akhbar untuk mendapatkan rawatan.

Program Bersamamu di TV3 juga jelas sangat memaparkan kedaifan hidup segolongan sahabat kita yang tinggal di negeri-negeri maju yang diperintah oleh parti yang katanya hebat dalam membela rakyat. Sampaikan nak minta bantuan pun, rakyat terpaksa mengadu kepada stesen tv swasta, mana peranan wakil rakyat? JKKK?

Jadi pada saya, janganlah tuan-tuan sekadar berangan melihat keindahan bangunan pencakar langit, lapangan terbang yang canggih, kereta lumba yang laju di litar lumba canggih, kapal layar mewah, masjid besar berkilauan cahaya. Itu semua orang yang punya, orang lain yang dapat laba. Tuan-tuan dapat apa. Masih lagi menyewa di rumah flat kos rendah dengan harga 500 sebulan (Lembah Klang), kereta tak mampu beli, hatta proton saga baru yang beharga RM 31,500 sebab nak jimat bayaran bulanan untuk duit makan-minum, yuran sekolah anak, bil air, bil letrik, takut kena tol lagi kalau pakai kereta, jem dalam KL (minyak mahal pulak tu).

Fikirlah sendiri, nak hebat dengan projek kroni atau nak melegakan poket sendiri?

Tiada ulasan: